Tuesday, December 7, 2010

~Nilai-Nilai Murni~

nilai-nilai murni (geografi)

~Konsep Nilai Murni dalam Falsafah Pendidikan Negara~

KERTAS KERJA KAJIAN SISTEM PENDIDIKAN KEBANGSAAN (MTT 2353)



KONSEP NILAI MURNI DALAM FALSAFAH PENDIDIKAN NEGARA



1.0 Tujuan pemilihan tajuk.

Memandangkan kepada masalah sosial yang semakin ketara dan berleluasa dewasa ini khususnya dikalangan remaja ataupun kanak-kanak sekolah, tajuk ini amat sesuai dipilih untuk diperbincangkan. Masalah sosial yang disajikan kepada kita baik melalui media elektronik ataupun media cetak setiap hari amat membimbangkan contohnya kes penyalahgunaan dadah, penderaan, pembunuhan, rasuah, politik wang dan sebagainya. Kes juvana juga semakin hari semakin meningkat.

2.0 Definisi Nilai Murni

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:

"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia"

(Wan Mohd. Zahid, 1988)

Secara keseluruhannya, ia merupakan nilai yang positif yang boleh diterima oleh pelajar dan masyarakat. Dalam pendidikan, penerapan nilai yang pertama kali secara rasminya diberi penekanan ialah melalui Lapuran Kabinet (Lapuran Mahathir 1979), 1989. Semasa Datuk Sri Anwar Ibrahim menjadi pemimpin Kementerian Pendidikan beliau membuat penyataan mengenai FPN & KBSM yang mana menyelitkan isu-isu nilai murni untuk diterapkan kepada pelajar-pelajar dan guru-guru dalam melahirkan insan yang seimbang dan harmoni, bukan sahaja dari segi intelek, tetapi juga emosi, rohani dan jasmani.

3.0 Falsafah Pendidikan Negara

Falsafah Pendidikan Negara (FPN) yang disuratkan pada tahun 1987 berbunyi:-

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan kearah perkembangan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara"

Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri:

Percaya dan patuh kepada tuhan
Berilmu pengetahuan
Berakhlak mulia
Bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara.
Berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat, agama. Bangsa dan negara.
Memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu.
Keseimbangan dan keharmonian yang terdapat dalam FPN akan dapat dicapai jika nilai-nilai murni ini dapat direalisasikan melalui kurikulum (khususnya dalam pendidikan formal dan tidak formal) supaya ilmu pengetahuan akan dapat diperkembangkan sebagai khalifah Allah dimukabumi ini, manusia hendaklah menyeru dan menyedarkan sesama manusia yang lain.

Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa beliau selaku Menteri Pendidiakn pernah menyeru agar FPN menjadi teras dan tunjang kepada sistem pendidikan kebangsaan dalam melaksanakan prinsip-prinsip dan nilai-nilai yang hendak dicapai. Usaha dan kesedaran daripada insan itu sendiri amat penting dalam mentafsir, membentuk dan melaksanakn hasrat falsafah pendidikan demi untuk melahirkan insan yang berilmu, beriman, berakal, berketerampilan dan berakhlak mulia.

Kesedaran tentang penanaman nilai-nilai murni disemai dan dibajai mulai zaman kanak-kanak lagi. Ibubapa, guru-guru dan masyarakat masing-masing berperanan dalam memberi teladan kepada kanak-kanak agar mereka dapat menyesuaikan dan memeprsembahkan diri mereka berdasarkan kepada nilai murni yang ditonjolkan kerana mereka ibarat kain putih yang perlu dicorakkan dengan warna-warna nilai yang baik. Bak kata pepatah, "melentur buluh biarlah dari rebungnya".

Pendidikan di rumah adalah bergantung kepada ahli keluarga itu sendiri. Rasulullah S.A.W menegaskan kepentingan pendidikan bermula di rumah iaitu pada peringkat keluarga lagi. Sabda baginda yang bermaksud:

" Setiap bayi yang dilahirkan itu dengan fitrahnya. Hanya ibubapanya yang menjadikan ia Yahudi, Nasrani atau Majusi."

Di sekolah guru memainkan peranan sebagai ibubapa dalam membentuk kanak-kanak selaras dengan penerapan yang dimasukkan dalam Falsafah Pendidikan Negara. Nilai-nilai murni mula diterapkan dari pendidikan pra sekolah lagi merupakan basic atau asas kepada proses pembelajaran dan perkembangan kanak-kanak dalam membentuk peribadi dan bernilai murni.

Guru bukan hanya menjalankan tugas mengajar matapelajaran yang terdapat dalam syllabus tertentu sahaja, sebab nilai murni perlu terdapat dalam setiap matapelajaran. Dan adakalanya nilai murni yang disalurkan itu tidak terdapat secara khusus di dalam subjek tersebut tetapi diterapkan secara tidak formal seperti komunikasi yang baik antara guru dan murid, yang akan mempengaruhi penanaman nilai dalam jiwa pelajar.

4.0 Rasional Nilai-nilai Murni dalam Falsafah Pendidikan Negara

Pada bulan Mei 1969, rusuhan kaum berlaku dalam sejarah negara. Ini menunjukkan kerapuhan kebangsaan kita. Masyarakat kita tiada semangat muhibbah yang dapat menyatukan setiap kaum. Selain daripada itu tekanan daripada cendikiawan Islam terutama sejak Persidangan Sedunia Tentang Pendidikan Islam di Mekah pada tahun 1977 serta penularan pelbagai jenis penyakit kerohanian, akhlak, sosial dikalangan pelbagai lapisan masyarakat mengalakkan pihak yang berkenaan memberi perhatian yang lebih kepada isu nilai dalam pendidikan.

Sebagaimana yang kita tahu matlamat dasar pendidikan negara adalah untuk melahirkan masyarakat yang bersatupadu, berdisiplin, berpengetahuan, bertanggungjawab, berkebolehan berwawasan dan terlatih. Maka apakah corak pandangan hidup atau "world view" yang harus didedahkan kepada pelajar atau belia sekarang untuk mereka hayati, amal dan wariskan?. Untuk melihat output dan product yang positif yang dijelmakan oleh pelajar ialah melalui penanaman nilai-nilai murni serta penekanan yang lebih jitu dalam usaha mendidik mereka agar selaras dengan penyataan FPN ini. Fungsi utama proses pendidikan ialah sebagai agen pemasyarakatan dan pembudayaan dalam menerapkan nilai-nilai tersebut. Yang penting sekali adalah kesepaduan empat sifat utama iaitu JERI (Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelektual) yang akan menghasilkan keseimbangan dalam melahirkan individu yang berakhlak.

Masyarakt adalah agen ketiga dalam membentuk nilai murni. Melalui FPN yang dipelajari disekolah-sekolah baik untuk ahli masyarakat yang sedang atau telah tamat bersekolah. Mereka telah diterapkan dan diajar dengan nilai murni. Kesan daripada apa yang dipelajari mereka boleh jelaskan kepada orang lain samada melalui bentuk penerangan, perbincangan melihat ataupun perubahan perlakuan sendiri. Penerapan nilai itu mestilah bersahaja dan tidak langsung dan sentiasa berterusan.

Di Malaysia dewasa ini isu-isu penerapan nilai murni semakin ketara dan menonjol. Kementerian Pendidikan Malaysia telah melaksanakan strategi penerapan nilai-nilai murni secara komprehensif dimana:

" Nilai-nilai murni akan disisipkan melalui kesemua matapelajaran dan akan diperkukuhkan melalui kegiatan-kegiatan ko-kurikulum, formal dan tidak formal, di dalam dan di luar bilik darjah, akan digunakan sepenuhnya dengan cara bersepadu untuk memastikan penerapan nilai-nilai murni akan berhasil dan berkesan."

5.0 16 Aspek Nilai-nilai Murni

Jawatankuasa Pendidikan Akhlak yang ditubuhkan pada tahun 1976 telah meneliti nilai-nilai yang terkandung dalam pelbagai agama yang diamalkan di negara kita, tidak hanya memfokuskan kepada agama Islam sahaja. Berasaskan kepada pandangan dan maklumbalas yang diperolehi , jawatankuasa ini yang dianggotai oleh wakil pelbagai agama telah menerima 16 nilai yang boleh diajar dan diserapkan kepada semua pelajar di negara ini untuk membentuk pelajar yang seimbang dan menyeluruh dari segi kognitif, afektif, psikomotor dan akhlak.

Di sekolah penerapan nilai murni boleh disepadukan melalui:

Secara pertuturan
Secara perlakuan
Secara teladan
Secara isyarat
Secara kefahaman
Secara interpretasi
Secara konteksual
Tujuan pendidikan nilai murni ialah untuk membentuk murid-murid supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat.

Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) telah memperakui 16 nilai-nilai murni:-

Baik Hati
Sikap sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara tulus ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk orang lain. Ini meliputi:

Aspek belas kasihan
Bertimbang rasa
Murah hati
Saling faham memahami
Sedia memaafkan
Berdikari
Kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. Berdikari dalam konteks ini membawa pengertian:

Bertanggungjawab
Berupaya bertindak sendiri
Jaya diri dan yakin pada diri sendiri.




Hemah Tinggi
Berbudi pekerti dengan tingkah laku mulia dan lemah lembut yang patut diamalkan oleh seseorang individu dalam hubungannya dengan ahli masyarakat yang lain. Ciri-ciri berhemah tinggi adalah:

Kesopanan
Mengakui kesalahan
Ramah mesra
Hormat Menghormati
Menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberi layanan yang bersopan. Ini merangkumi:

Hormat dan taat kepada ibubapa
Hormat kepada orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin
Hormat kepada raja dan negara
Patuh kepada undang-undang
Hormat kepada hak asasi
Hormat kepada kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan
Hormat kepada keperibadian individu.
Kasih sayang
Perasaan cinta, kasih sayang yang mendalam dan berkekalan. Rasa ini lahir dari hati yang rela terhadap sesuatu, tanpa sebarang unsur kepentingan diri:

Sayang kepada nyawa
Sayang kepada alam sekeliling
Cinta kepada negara
Cinta kepada keamanan dan keharmonian
Keadilan
Perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah.

Kebebasan
Kebebasan yang dimaksudkan ini, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang ditentukan oleh agama, masyarakat dan negara. Contohnya ialah:

Kebebasan di sisi undang-undang
Kebebasan dalam sistem demokrasi.
Keberanian
Kesanggunpan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati. Keberanian itu perlu ada pada setiap orang. Tetapi ia harus tahu batas dan keupayaannya kerana keberanian yang melulu mengakibatkan bencana. Nilai ini merangkumi:

Berani dengan tidak membuta tuli
Berani kerana benar
Berani mempertahankan pendirian
Berani bertanggungjawab.
Kebersihan fizikal dan mental
Kebersihan fizikal ialah kebersihan diri dan kebersihan persekitaran. Kebersihan mental pula merangkumi pertuturan, perlakuan, pemikiran dan kerohanian. Antaranya ialah:

Kebersihan diri
Kebersihan persekitaran
Pertuturan dan kelakuan yang bersopan
Pemikiran yang sihat dan membina
10. Kejujuran

Sikap dan perlakuan yang menunjukan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan.

Kerajinan
Usaha berteruan yang penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan daya usaha dalam melakukan sesuatu perkara.

Kerjasama
Usaha baik dan membina yang dilakukan secara bersama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat seperti persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong royang, ketoleranan dan perpaduan.

Kesedaran
Sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat. Ini termasuklah:

Sederhana dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain.
Tidak keterlaluan dalam pertuturan dan tingkah laku.
Kesyukuran
Perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas di atas nikmat dan kesenangan yang diperolehi seperti berterima kasih,, mengenang budi dan penghargaan.

Rasional
Boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, tanpa dipengaruhi oleh perasaan. Umpamanya seperti boleh membuat pertimbangan, boleh membuat penakulan dan berfikiran logik dan terbuka.

Semangat Bermasyarakat
Kesediaan melakukan sesuatu untuk kepentingan bersama bagi mewujudkan keharmonian hidup dalam masyarakat seperti bermuafakat, kerajinan dan peka kepada isu-isu sosial dalam masyarakat.

6.0 Strategi Penerapan Nilai Murni

Suatu proses perubahan yang sedang berlaku dalam Falsafah Pendidikan Negara dengan menjadikan "Manusia" sebagai objek yang paling utama. Aspek-aspek Ontologi (teori kejadian), epistemologi (teori ilmu) dan axiologi (teori nilai). Ketiga-tiga aspek ini digabungkan sebagai commitment untuk menjadikan nilai-nilai murni sebagai asas utama dalam kurikulum pendidikan kebangsaan.

Kementerian Pendidikan memutuskan untuk menggunakan strategi bersepadu diperingkat menengah. Langkah ini bertujuan untuk memastikan bahawa semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah di antara satu sama lain, malah berkaitan dan bersifat bersepadu. Unsur-unsur utama yang akan digunakan untuk mewujudkan kesepaduan itu ialah unsur nilai.

Dalam pendidikan , penerapan nilai murni berlaku secara bersahaja dan tidak langsung. Strategi penerapan nilai secara yang tidak langsung ini penting kerana nilai tidak boleh diajar secara formal seperti matapelajaran lain. Ini merupakan satu penghayatan dan pengusahaan secara beramal bukan sekadar peringatan atau penghafalan.

Bagi strategi yang mempunyai kaitan langsung dengan isi pelajaran, pendekatan kognitif dalam bentuk perbincangan dapat dilakukan. Fakta-fakta sejarah dan cerita-cerita dalam matapelajaran sastera umpamanya akan dapat dibincang melalui isu-isu yang dapat dikaitkan secara langsung dengan unsur nilai yang dipegang oleh pelajar atau nilai sejagat tertentu. Pelajar di mana membuat penilaian berdasarkan kepada nilai mereka sendiri di mana guru hanya bertindak sebagai pembimbing kepada pelajar untuk mereka periksa nilai sendiri di samping guru mencari alternatiif lain.

Nilai yang diterapkan boleh menjadi kriteria panduan tentang bagaimana sesuatu nilai harus dilakukan misalnya nilai keberanian ataupun rasional. Orang yang rasional boleh membuat pertimbangan yang baik dalam menghadapi menyelesaikan sesuatu masalah. Sikap perihatin guru dan kesedaran pelajar dalam memupuk nilai murni baik secara formal ataupun spontan menyebabkan ianya akan sentiasa dapat dipupuk dari semasa ke semasa.

Tindakan Kementerian Pendidikan yang melancarkan strategi bersepadu diperingkat sekolah menengah (KBSM) adalah bersesuaian kerana ia bertujuan memastikan bahawa semua matapelajaran yang diajar tidak terpisah jauh antara satu sama lain dan sentiasa berkaitan dan bersifat bersepadu. Unsur yang menunjukan kesepaduan ini ialah unsur nilai.

7.0 Teknik Penerapan Nilai Murni

Walaupun nilai-nilai murni diwar-warkan untuk dilaksanakan dan diserapkan dalam pendidikan, jika tidak ada teknik yang sesuai ianya tidak akan mencapai matlamat dan keberkesanannya. Antara cara yang dikenalpasti untuk menerpkan dan menyerap serta menyemai nilai-nilai murni ialah:

Melalui matapelajaran tertentu (Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam)
Penerapan nilam murni dalam matapelajaran lain
Aktiviti ko-kurikulum
Aktiviti persatuan sekolah
Melaui teknik-teknik di atas, penerapan nilai murni akan dapat dilaksanakan walaupun tidak sepenuhnya. Melalui matapelajaran tertentu, sekurang-kurangnya dengan mewajibkan pelajaran mengambil subjek yang berkenaan akan memberikan pengetahuan ataupun akan dapat menarik minat mereka untuk belajar.

Begitu juga dengan penerangan melalui matapelajaran lain yang mungkin berlaku secara langsung misalnya melalui perlakuan atau interaksi. Di sini pelajar akan dapat melihat dan membandingkan serta mengaitkan apa yang dipelajari dalam matapelajaran khusus tadi dengan apa yang dilihat sekarang. Disamping bimbingan guru-guru dasn ibubapa, kesedaran daripada pelajar itu sendiri amat penting dalam menetapkan situasi diri mereka sendiri.

Teknik ke tiga dan ke empat juga berlaku secara tak langsung di mana biasanya melalui teknik ini penerapan nilai-nilai murni akan lebih menyerlah. Penerapan nilai-nilai murni akan tertera dengan sendirinya. Jika kumpulan yang tidak mempunyai nilai murni mereka akan sentiasa berada dalam keadaan bermasalah.

8.0 Keberkesanan penerapan nilai murni dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Memandangkan penerapan nilai telah lama dilaksanakan dikalangan pelajar, baik melalui ibubapa, guru ataupun masyarakat, hari ini kita telah dapat melihat beberapa bukti yang menunjukkan sejauhmana keberkesanan ataupun ketidakberkesanan penerapan tersebut.

Adakah matlamat FPN untuk melahirkan insan yang seimbang dan hamonis telah terccapai? Jawapannya, "Ya" dan "Tidak", ini kerana walaupun penerapan nilai telah disemai dan dilaksanakan namun masih ada yang tidak mengamalkannya walaupun mereka telah menerimanya. "Ilmu tanpa Amal", tiada ertinya.

Antara bukti keberkesanan yang telah kita dapat lihat pada hari ini ialah semakin ramai golongan remaja kita yang berakhlak mulia walaupun mereka dipengaruhi oleh pelbagai godaan untuk memencongkan nilai murni pada diri manusia. Golongan remaja yang awal 20-an sekarang adalah mereka yang telah diterapkan dan diberi penekanan mengenai penerapan nilai-nilai murni semasa di sekolah dahulu. Hasilnya kita lihat pada hari ini adanya kesedaran daripada golongan remaja sendiri untuk membenteras kepincangan yang dihadapi oleh segelintir rakan mereka yang masih dipengaruhi oleh nilai yang tidak elok. Misalnya, dalam industri muzik yang sentiasa mengulit remaja dengan lagu-lagu dan muzik terkini seperti rock, dang-dut, dan lain-lain. Tapi ada juga remaja yang sedar dan cuba menarik dan menutupinya dengan mengalunkan lagu-lagu dakwah dengan memuji kebesaran Illahi seperti kumpulan Rabbani, Raihan, Hijjaz, Hawa dan sebagainya. Perkembangan kumpulan pemuzik dakwah ini sekurang-kurangnya menunjukkan adanya kesedaran dan kejayaan pemupukan nilai murni.

Dari segi ekonomi misalnya, kanak-kanak sekolah begitu perihatin terhadap kelemahan dan kesusahan orang lain. Penerapan nilai murni yang mereka terima membantu menyedarkan mereka untuk menderma, menolong dan perihati terhadap masalah yang wujud tanpa mengira siapa. Contohnya, "Derma Hari Pahlawan" yang selalu di buat oleh kanak-kanak sekolah , menunjukkan disamping mereka menderma mereka bekerjasama membantu memungut derma tersebut. Ini menunjukkan satu inesiatif yang baik dalam menyemai nilai-nilai murni.

Anugerah "Tokoh Kanak-kanak", "Pingat Hang Tuah", "Olahragawan dan Olahragwati" dan lain-lain anugerah menunjukkan nilai-nilai murni yang disemai dan keberkesannanya kerana penganugerahan itu diberikan berdasarkan kepada sikap, sifat dan pencapaian yang baik yang ditunjukkan.

Yang paling jelas kita lihat sekarang ialah nilai saling hormat menghormati yang ditunjukkan oleh remaja kita kepada ahli masyarakat. Melalui penerapan nilai di sekolah-sekolah, ramai pelajar yang dapat menerimanya. Misalnya mereka prihatin dalam menghormati orang yang lebih tua daripada mereka. Mereka pandai menyesuaikan diri dalam sesuatu kelompok tertentu agar tidak menyinggung perasaan orang lain.

Namun demikian tidak dapat dinafikan bahawa bukan semua nilai-nilai murni yang diterapkan di sekolah-sekolah atau di rumah itu diterima pakai oleh pelajar kita, sebab masih ada yang menunjukkan kesan yang negatif. Masalah-masalah sosial yang semakin meningkat sekarang menunjukkan kesukaran mereka melaksanakan nilai-nilai murni tersebut walaupun mereka mengetahuinya, tetapi tidak dipraktikan. Ini berpunca daripada beberapa faktor tertentu seperti ibubapa, institusi sekolah sendiri, guru dan masyarakat dan pelajar itu sendiri.

Ibubapa misalnya mereka walaupun telah menyemai dan menanam nilai-nilai murni dalam jiwa anak mereka tetapi tidak menggalakkan mereka untuk mengamalkan adalah sesuatu yang tidak wajar.

Begitu juga guru-guru dan masyarakat. Mereka tidak begitu memberi perhatian terhadap nilai-nilai yang asas atau kecil. Mereka memandang ringan atas beberapa kesilapan kecil yang dilakukan dan kurangnya penerapan. Guru misalnya, mereka sekadar mengajar mengenai nilai-nilai murni kepada pelajar sedangkan mereka sendiri tidak menunjukkan contoh tauladan yang baik.

Sikap individu atau pelajar sendiri yang ambil mudah (sambil lewa) terhadap penerapan nilai murni ini. Misalnya mereka mempelajari sesuatu subjek itu adalah sekadar exam-oriented, hanya untuk lulus peperiksaan, bukannya memahami dan mempraktikkan apa yang dipelajari. Ada segelintir pelajar yang suka dipaksa untuk melakukan sesuatu perkara, maka dengan tidak adanya paksaan samada dari ibubapa ataupun guru menyebabkan mereka melalaikannya.

9.0 Konsep Pemuafakatan Dalam Pendidikan

Dalam pendidikan, konsep pemuafakatn ini ditumpukan kepada pemuafakatan antara guru, ibubapa, masyarakat dan murid itu sendiri. Antaranya yang jelas kita nampak ialah pemuafakatan yang dibuat melalui penibuhan PIBG di sekolah-sekolah untuk menangani dan membincangkan isu-isu semasa berkaitan dengan sekolah, perkembangan , kemajuan serta masalah yang melanda pelajar serta sekolah tersebut.

Dengan adanya PIBG, ini menunjukkan bebanan di sekolah tidak hanya dipikul oleh guru sahaja tetapi juga mendapat kerjasama daripada ibu-bapa pelajar. Sebarang kemajuan dapat dirasai bersama sebaliknya juga sebarang masalah perlu dipikul dan dibanteras bersma.

Konsep pemuafakatan di sekolah juga dapat kita lihat melalui kegiata-kegiatan ko-kurikulum ataupun temasya yang diadakan. Contohnya temasya sukan atau sukaneka di sekolah adakalanya melibatkan tidak hanya pelajar berkenaan tetapi juga ahli keluarga pelajar tersebut. Ini menunjukkan adanya semangat kesukanan, setiakawan serta kerjasama dalam aktiviti yang dijalankan.

10.0 Penutup

Kesemua 16 nilai yang dipilih untuk disisipkan kedalam pendidikan adalah nilai-nilai yang dapat menjadikan seseorang itu manusia yang dihormati dan boleh memainkan peranan yang aktif dalam menjamin keharmonian dalam masyarakatnya serta dapat menyumbang kearah pembangunan masyarakat.

Tanggungjawab untuk menyediakan generasi yang seimbang dan harmonis dari segi JERI bagi melaksanakan hasrat FPN bukanlah satu yang mudah. Penggubalan KBSM adalah harapan untuk melahirkan insan yang soleh dan berakhlak mulia.

Tugas guru dalam menerapkan nilai murni tidak semestinya bergantung 100% kepada kandungan kurikulum yang ditentukan tetapi perlulan juga berdasarkan inisiatif mereka sendiri. Guru sebagai "role model" perlulah menunjukkan dan menainkan peranan dalam menerapkan nilai murni baik dari segi perbuatan, perlakuan maupun tuturkatanya. Guru harus cekap dalam menyampaikan isi pelajaran disamping menerapkan nilai-nilai murni dalam penyampaiannya. Begitu juga dalam memilih kaedah dan waktu hendaklah bersesuaian.

Kesemua nilai yang disenaraikan merupakan asas atau jambatan kepada pelajar yang masih dibangku sekolah dalam membentuk perwatakan dan displin diri yang tinggi dan mulia. FPN digubal berpandukan kepada konsep berteraskan Allah SWT. Ia menampakkan sifat yang bersepadu, menyeluruh dan seimbang iaitu kesepaduan di antara ilmu, iman dan amal; kesepaduan di antara akal, jasad dan roh; kesepaduan di antara teori dan amali, di antara kemahiran dan akhlak; di antara rupa dan jiwa; di antara pembangunan keduniaan dan akhirat; dan di antara manusia, alam dan Allah, yang mana kesemuanya bermatlamatkan pemikiran insan soleh . Insan yang baik akan membentuk keluarga yang baik, seterusnya masyarakat serta bangsa yang baik.

Tindakan kerajaan menukarkan kurikulum lama kepada kurikulum baru iaitu pendidikan bersepadu (KBSM) adalah satu langkah yan bijak dan tepat. Ini menunjukkan kerajaan ada campurtangan dan turut memberi penekanan kepada bukan sahaja ilmu yang bersifat kerohanian dan keduniaan tetapi juga ilmu moral yang lebih bersifat kejasmanian dan keakhiratan. Pendidikan akan sentiasa terus berlangsung, tiada limitasinya. Matlamat akhir pendidikan bersepadu adalah merupakan integrasi tanggungjawab membentuk insan yang baik dan seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelek selaras dengan kehendak FPN.
Nilai Murni Dalam Pendidikan

Sunday, November 28, 2010

Langkah-Langkah Memupuk Nilai Murni

Mutakhir ini,nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat semakin pudar.Hal ini terjadi demikian kerana sikap ibu bapa yang tidak prihatin terhadap kepentingan nilai-nilai ini dalam diri anak-anak mereka.Jika nilai-nilai murni ini tidak dipupuk maka negara kita akan dahagakan masyarakat yang saling bersatu padu.Oleh itu,nilai-nilai murni ini haruslah dipupuk sejak dibangku sekolah lagi kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’.Bagaimanakah cara-cara untuk memupuk nilai-nilai murni ini daripada terus hilang ditelan zaman?

Langkah perdana yang boleh diambil untuk memupuk nilai murni adalah melalui bantuan pihak kerajaan.Kerajaan perlu mengadakan kempen-kempen kesedaran kepada masyarakat sama ada di desa ataupun di bandar-bandar besar yang sedang mengalami proses pembangunan ekonomi.Kempen ini haruslah dilakukan secara berterusan dan janganlah sekadar ‘hangat-hangat tahi ayam’kerana akan menyebabkan kerugian kepada negara kita sendiri.Jika inisiatif untuk memupuk nilai-nilai murni dalam diri masyarakat tidak dilakukan oleh pihak kerajaan maka masyarakat pada hari ini akan terus hanyut dalam dunia modenisasi ini.Oleh itu,pihak kerajaan haruslah mengadakan kempen ini secara berterusan supaya masyarakat akan terus dibasahi dengan nilai-nilai murni yang akan mengeratkan hubungan antara masyarakat di negara ini.

Langkah seterusnya yang dapat kita lakukan untuk mengatasi keruntuhan nilai moral dalam kalangan masyarakat adalah dengan menyedarkan ibu bapa tentang pentingnya memupuk nilai-nilai moral dalam diri anak-anak semasa mereka masih tidak mengenal apa itu erti kehidupan.Ibu bapa boleh memupuk anak-anak mereka dengan sentiasa mengajar mereka tentang pentingnya semangat kejiranan dan perpaduan.Oleh hal demikian,ibu bapa mestilah sentiasa membawa mereka untuk mengikuti program yang dianjurkan oleh pihak tertentu yang menjurus kepada usaha untuk memupuk nilai-nilai murni.Jika ibu bapa hanya mengambil ringan akan masalah yang sedang melanda negara kita sekarang maka negara kita akan mengalami satu masalah besar yang akan menyerang negara pada masa akan datang bak kata pepatah’api kecil baik dipadam’.Oleh itu,peranan ibu bapa dalam menangani masalah ini amat diperlukan kerana setiap pembelajaran itu bermula dari rumah dan ibu bapa haruslah sabar dalam mendidik anak-anak kerana ‘belakang parang jika diasah tajam juga’.

Selain itu,peranan pihak sekolah dalam membanteras masalah keruntuhan moral ini amat dituntut kerana di sekolah merupakan tempat pembelajaran kedua selepas di rumah.Dalam mengatasi masalah ini,pihak sekolah boleh mengadakan pelbagai aktiviti yang berfaedah di sekolah mahupun di luar kawasan sekolah seperti bergotong-royong untuk membersihkan sekolah dan mencantikkan sekolah.Aktiviti-aktiviti seperti ini dapat memberi kesedaran kepada pelajar tentang peri pentingnya semangat bekerjasama dan saling membantu dalam kalangan masyarakat.Kementerian Pelajaran boleh mewujudkan mata pelajaran baru yang mengajar pelajar tentang nilai-nilai moral.Jika pihak sekolah tidak memainkan peranan dalam mengatasi masalah ini maka negara kita semakin kepupusan pelajar yang mempunyai nilai moral yang akan menjadi tunggak negara pada masa akan datang.Tegasnya, pihak sekolah juga memainkan peranan utama dalam mengatasi keruntuhan nilai-nilai moral dalam kalangan masyarakat.

Seterusnya, usaha yang boleh dilakukan untuk membanteras masalah ini ialah melalui media massa.Pada zaman yang menuju puncak ini,semua informasi-informasi yang berlaku di dunia ini mudah didapati kerana kemudahan seperti internet,televisyen dan banyak lagi memberi kita peluang untuk menerokai hal-hal yang berlaku pada masa sekarang.Oleh hal demikian,sudah tentulah usaha untuk memupuk nilai murni ini boleh dilakukan melalui media massa.Untuk merealisasikan impian ini,pihak media massa haruslah bekerjasama dalam menjayakan program ini dan sentiasa berjuang untuk kadaulatan negara.Seperti yang sedia kita maklum,televisyen menjadi daya tarikan yang popular dalam kalangan masyarakat di negara kita.Oleh itu,pihak syarikat televisyen haruslah sentiasa memaparkan nilai-nilai murni dan kepentingan nilai-nilai murni melalui iklan-iklan di televisyen.JIka pihak media massa tidak bekerjasama dalam mengatasi masalah ini maka amat sukar untuk mewara-warakan masalah yang sedang dihadapi ini kepada masyarakat di luar sana.Oleh itu, pihak media massa menjadi tempat untuk mendapatkan pertolongan bagi menyelesaikan masalah ini bak kata pepatah’yang berpayung yang ditembak’

Ahli Jawatankuasa kampung juga harus memainkan peranan dalam mengadakan program kemasyarakatan di kampung masing-masing seperti gotong-royong membersihkan kampung,menolong keluarga miskin dan sebagainya.Program seperti ini dapat mengajar penduduk kampung tentang kepentingan semangat bekerjasama atau nilai moral yang terpuji bagi mewujudkan sebuah masyarakat kampung yang harmonis.Program seperti ini juga memberi peluang kepada penduduk untuk meluangkan masa bersama kerana masyarakat pada zaman ini yang hanya mengejar kepentingan duniawi sahaja dan sikap seperti ‘katak dibawah tempurung’ yang tidak bergaul dengan orang lain. Oleh itu,program seperti ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat dan seharusnya dilakukan di setiap kampung di negara ini.

Kesimpulannya,kita haruslah bersatu padu dalam memerangi masalah keruntuhan moral dalam kalangan masyarakat di negara ini dan semua pihak mestilah memainkan peranan yang penting dalam memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan masyarakat, bak kata pepatah’Bersatu kita teguh,bercerai kita roboh’.Kita haruslah memupuk nilai-nilai murni ini di dalam diri kita kerana tidak rugi seseorang itu yang mempunyai nilai-nilai murni kerana ‘hancur badan dikandung tanah,budi baik dikenang juga’.

Saturday, November 6, 2010

Renung-renungkanlah...



Di sebuah kampung tinggal seorang lelaki tua yg sudah bertahun-tahun kematian isteri. Dengan arwah isterinya itu dulu dia dikurniakan tiga orang anak lelaki.

Semuanya sudah remaja. Anak pertama bernama Anis, kedua bernama Harben dan ketiga bernama Amsal. Akan ketiga-tiga ini yang paling disayangi ialah Harben. 

Sayangnya dengan Harben langsung tidak diberinya keluar rumah. Si polan ini sayang juga dengan Anis. 

Kadang-kadang dibawanya juga keluar rumah, ke pekan, ke penambang (jetty) dan ke sekitar kampung. 

Almaklum anak yang ketiga iaitu Amsal kadang-kadang langsung tak diendahnya..jadi merayau-rayau lah si anak ini ke sekitar kampung dan sampai ke pulau seberang. Kurus kering badannya kerana jarang diberimakan. 

Hendak dijadikan cerita, suatu hari yang mendung raja yang memerintah kampung itu dari pulau seberang telah memanggil si polan ini pergi mengadap. 

Susah hati lah si polan ini sebab badannya sudah tua, terpaksa pulak mengayuh selat nak ke pulau tersebut. Lagi pula musykil hatinya. Apa yang dimahukan si Raja itu. 

Maka dipanggilnya si Harben."Harben, tolong hantar ayah ke pulau seberang..Tuanku Raja memerintahkan ayah mengadap..boleh ya nak?" 

Apa yang dijawab Harben? "Minta maaf lah ayah. 

Masalahnya Harben tak pernah keluar rumah jadi macamana Harben nak hantar ayah ke sana sebab Harben tak tahu jalan. 

Kalau mahu, Harben hantar sampai depan pintu saja lah, ye ayah?"Mendengar jawapan si Harben sedihlah hati si polan ini kerana anak yang disayanginya tidak boleh diharap. "Baiklah kalau begitu" jawabnya sedih. 

Dipanggilnya pula si Anis."Anis, tolong hantar ayah ke pulau seberang..Tuanku Raja memerintahkan ayah mengadap..boleh ya nak?" Apa yangdijawab Anis? "Minta maaf lah ayah. 

Masalahnya Anis tak pernah keluar dari kampung ni jadi macamana Anis nak hantar ayah ke sana sebab Anis tak tahu jalan. 

Kalau mahu, Anis hantar sampai hujung kampung sajalah, ye ayah?" 

Mendengar jawapan si Anis itu sedihlah hati si polan ini kerana anak yang disayanginya ini pun tidak boleh diharap juga.

"Baiklah kalau begitu"jawabnya sedih. Dipanggilnya pula si Amsal. 

"Hei Amsal,tolong hantar ayah ke pulau seberang.. 

Tuanku Raja memerintahkan ayah mengadap.." Lalu Amsal menjawab, "Baiklah ayah" tanpa sebarang alasan.

Menyesallah dihatinya keranatidak menyayangi anaknya Amsal akan tetapi dia sanggup melakukan apa saja untuk ayahnya. 

Lalu pergilah si polan mengadap Raja. Harben menghantar di pintu pagar rumah, Anis menghantar sampai ke penambang dan si Amsal mengikut ayahnya mengayuh kolek. 

Sedang mengayuh itu, tidak semena-mena ribut melanda dan hujan lebat pun turun.

Terkial-kiallah mereka mengayuh dan disebabkan si polan yang dah tua dan si Amsal yang kurus kering karamlah mereka berdua terkubur di lautan. 

Moral: Adapun anak-anak si polan ini ialah sebenarnya kehidupan lelaki tua ini.

Harben ialah HARTA-BENDA,Anis ialah ANAK-ISTERI, danAmsal ialah AMAL-SOLEH.

Lazimnya manusia sayang kepada Harben dan Anis tapi tidak pada Amsal. 

Di mana bila manusia itu mati iaitu pulang kerahmatullah (mengadap Raja) yang dapat dibawanya hanyalah Amsal. 

Harben tinggal dipintu pagar dan Anis tinggal di penambang (di tepi kubur).

Oleh itu dalam kita mengejar cita-cita di dunia ni jangan lah lupa dgn akhirat dan rukun Islam yang lima . 

NILAI MURNI SEMAKKIN DILUPAKAN DALAM KEHIDUPAN!!!


Nilai-nilai murni merujuk perkara-perkara yang positif yang diamalkan oleh seseorang itu. Nilai ini turut beriringan dengan norma-norma budaya negara yang memberi penekanan terhadap aspek kesopanan seseorang. Cuma perkara yang dikesalkan dalam aspek ini ialah remaja zaman ini sudah mula melupakan nilai-nilai murni ini. Jadi, memang ada banyak nilai murni yang sudah dilupakan oleh masyarakat kita.

Nilai murni menghormati ibu bapa sudah lama terhakis dalam diri remaja kita kini. Mereka menganggap ibu bapa terutama yang sudah tua sebagai satu bebanan yang tidak harus dipikul oleh mereka. Semakin ramai anak-anak yang menghantar ibu bapa mereka ke rumah orang tua dengan alasan tidak mampu untuk menjaga makan minum mereka atau memberi perhatian kepada orang tua mereka. Oleh itu, nilai menghormati ibu bapa ini harus dipupuk semula demii keharmonian keehidupan masyarakat.
Selain itu, kita sudah lama tidak melihat atau mendengar nilai murni bekerjasama dalam masyarakat kita. Keadaan masyarakat yang mementingkan kebendaan atau mengutamakan aspek individualistik telah meembawa pupusnya skap bekerjasama ini. Kita mempunyai anggapan bahawa kita berupaya hidup bersendirian dalam alaf yang serba moden ini dengan terciptanya pelbagai rekaan teknologi yang serba canggih. Sebenarnya, kita semua lupa bahawa asas kejayaan dalam kehidupan dunia moden masih lagi mengutamakan aspek kerjasama.

Malahan, aspek kesopanan dalam aktiviti perbualan semasa masyarakat turut berubah. Kita tidak lagi menggunakan bahasa yang sopan apabila berbicara dengan orang lain. Sudah ramai antara kita yang lupa untuk menggunakan pangkat panggian yang betul atau sesuai ketika berbual dengan orang lain. Keadaan ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah yang membawa wujudnya perasaan tidak suka antara satu sama lain ekoran penggunaan bahasa yang kasar dan menyinggung perasaan seseorang itu. Jelaslah, nilai-niai kesopanan ketika berbicara telah dianggap ketinggaan zaman oleh masyarakat kita.
Tambahan pula, aspek kejujuran yang sering diutamakan dalam nilai-nilai murni turut menjadi lenyap kerana sikap masyarakat kita sendiri. Amalan rasuah yang semakin berleluasa telah menjadi bukti betapa nilai-nilai kejujuran tidak ada wujud dalam sahsiah orang kita kini. Semua perkara dilakukkan kerana mempunyai sesuatu agenda yang khusus atau membawa keuntungan peribadi kepada seseorang. Sesungguhnya, kita sudah melupakan nilai kejujuran ini sehingga kejujuran menjadi satu ciri manusia yang sukar untuk ditemui dalam diri kita.
Kesimpulannya, semua nilai-nilai murni yang dijelaskan di atas telah hilang kerana sikap kita yang tidak memandang tinggi atau menghargai nilai-nilai murni itu. Masyarakat kita meletakkan nilai-nilai murni sebagai satu perkara kecil yang boleh ditukar ganti dengan kemodenan masyarakat dunia. Sekiranya masalah ini tidak dipantau dengan berkesan nilai-nilai murni ini akan terus hilang dalam benak masyarakat kita. Cuba kita renungkan?

Pengertian Nilai Murni...

Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Wan Mohd. Zahid mentakrifkan nilai murni sebagai:

"Nilai-nilai murni merupakan tanggapan berkenaan perkara-perkara yang dihajati dan pada masa yang sama juga menjadi kriteria atau ukuran. Nilai-nilai murni sesuatu masyarakat biasanya diasaskan kepada agama. Memang menjadi tujuan semua agama, untuk membentuk kehidupan penganutnya untuk menjadi baik dan berakhlak mulia"
(Wan Mohd. Zahid, 1988)

Friday, November 5, 2010

~SELAMAT DATANG~

Assalamualaikum semua yang mengikuti laman ni...Salam perkenalan dihulurkan buat semua yang mengenali diri ini...Dunia blog masih lagi baru untuk saya..Tapi , insya-Allah saya tiada masalah untuk mengendalikannya dan akan memberi maklumat yang secukupnya kepada anda semua...
                                                Buah cempedak diluar pagar;
                                                         Ambil galah tolong jolokkan,
                                                Saya budak baru belaja;
                                                         Kalau salah tolong tunjukkan.


Kalian boleh memberikan segala macam pendapat agar blong ini boleh diperbaiki dari semasa ke semasa... Segala kerjasama yang anda berikan adalah amat saya hargai... :p