Saturday, February 26, 2011

~Cerpen~Diari Hidupku~

Jauh di sudut hatiku , pelbagai kenangan silam masih lagi segar berlegar-legar menyusuri segenap ruang akal fikiranku. Alangkah indahnya hidup ini andainya kehidupan masa lampau mampu untuk diulang semula. Andai kata segala perlakuan lampau boleh kembali dilakukan , tidak akan aku persiakan peluang itu walaupun hanya sekali. Namun itu semua hanya andaian. Sebagai manusia biasa pasti semua orang tahu sesungguhnya masa itu emas dan tidak mungkin dapat diputar semula.

* * * * *

“Apa yang sudah berlaku?”Qis menyoal diriku dengan pelbagai kerutan jelas kelihatan di dahinya.
Aku hanya mampu menggelengkan kepala tanda tidak tahu. Aku sendiri tertanya-tanya mengapa begitu ramai orang mengerumuni papan kenyataan am sekolah. Sudah berbuih mulutku bertanya kepada mereka, namun tiada yang melayani pertanyaanku itu. Aku dan Qis dibiarkan termanggu-manggu menanti jawapan yang tidak pasti. Kami hanya beranggapan bahawa mungkin nama-nama pelajar pintar yang tertera di papan kenyataan tersebut. Sudah menjadi kebiasaan sekolahku untuk memaparkan nama-nama pelajar yang melepasi tahap sekolah mahupun mewakili sekolah dalam pelbagai aspek. Tanda tanya kami semakin bertambah tatkala beberapa pelajar mengucapkan tahniah kepadaku apabila mula menyedari kehadiranku di situ.

Qis mula menyoalku , “Kau ada memasuki apa-apa pertandingan ke Lys?”

Segala urat sarafku pantas menghantar isyarat ke otakku dan membuatkan kepalaku menggeleng laju. Tanpa membiarkan masa berlalu walau seminit, kami segera mendekatkan diri dengan kertas yang menjadi perhatian itu. Degupan jantungku seakan berhenti berdegup ketika cahaya daripada sekeliling masuk ke mataku dan melalui segala lapisan mata dan akhirnya imej di kertas tersebut tertera pada retina mataku. Aku dapat melihat dengan jelas raut wajah Qis disebelahku. Aku dipeluk erat oleh Qis dan sekali lagi ucapan tahniah yang bertubi-tubi singgah kepadaku.

‘Calon Anugerah Tokoh Nilam Peringkat Daerah 2011’. Itulah punca sebenar jantungku seakan berhenti berdegup sebentar tadi. Berdasarkan apa yang terkandung dalam memo itu, pertandingan nilam tersebut akan berlangsung pada bulan Februari iaitu pada 10 Februari 2011. Sekali lagi aku terasa seperti ada seketul batu besar sedang menghempap diriku saat itu. Jika diikutkan tarikh itu bermakna aku hanya mempunyai masa sebanyak 2 minggu lagi untuk bersedia. Tapi, apa yang harus aku lakukan dalam masa terdekat itu? Setahuku pihak sekolah tidak pernah menghantar sebarang penyertaan berkaitan nilam sebelum ini. Aku segera mendapatkan seberapa banyak maklumat yang boleh agar aku tidak terkocoh-kocoh sewaktu pertandingan kelak.

* * * * *

Alhamdulillah. Segalanya selesai kini. Aku telah berjaya mendapat tempat ketiga dalam pertandingan tersebut. Aku tetap berasa gembira atas kejayaan tersebut memandangkan sekolahku tidak pernah menghantar sebarang penyertaan sebelum ini dan aku berjaya mendapat tempat. Aku telah membawa pulang sijil dan piala yang menggembirakan guru pengiringku. Hari-hari seterusnya tetap aku lalui dengan tabah dan sabar bersama rakan sekolahku yang lain.

* * * * *

Ketika ini semua pelajar tingkatan 5 sedang berada di tahap paling kritikal kerana peperiksaan SPM cuma beberapa langkah sahaja ketika ini. Walaupun kami telah dibekalkan dengan pelbagai latihan, namun perasaan bimbang tetap tidak dapat dikikis dalam hati sanubari kami para pelajar tingkatan 5. Kalendar kuda yang tergantung di pintu almariku menunjukkan hanya beberapa hari lagi yang harus aku tempuhi sebelum peperiksaan SPM mula membuka tirainya. Aku kini hanya mampu berdoa dan berserah kepada qada’ dan qadar-Nya dan memohon agar aku dan rakan-rakanku mampu menjawab soalan SPM dengan tenang.

* * * * *

Sungguh pantas masa berlalu menyebabkan aku berasa seperti ingin segera kembali kepada zaman kanak-kanakku. Sejak awal pagi lagi aku telah bersiap-siap untuk kembali ke sekolah dengan satu tekad bersama-sama pelajar tingkatan 5, 2011 yang lain. Sesampainya aku di sekolah, ramai pelajar berjumpa denganku setelah sekian lama aku menyepikan diri di rumah.
Alhamdulillah. Berita terbaru mengenai keputusan SPM kami ialah kami Berjaya melepasi tahap dan sekaligus memecahkan rekod sekolah. Sekali lagi aku mengucapkan syukur ke hadrat ilahi kerana aku telah berjaya memperoleh 10A dan begitu juga rakan sekelasku yang seramai 34 orang itu. Hasrat kami tercapai jua akhirnya.

* * * * *

“Selamat pagi, Qis.” Sapaku kepadanya.

Kami bersarapan bersama sebelum memulakan perjalanan ke dewan kuliah kami dengan menaiki keretaku. Aku disini sudah hampir 4 tahun begitu juga Qis. Kami kini sedang berusaha sehabis baik memerah otak untuk menjawab segala kertas ujian yang dikeluarkan pensyarahku. Hanya tinggal beberapa kertas sahaja yang harus aku tempuhi sebelum aku boleh menamatkan pengajianku dan seterusnya menjadi satu daripada doktor di tempatku. Setelah selesai segala urusan kami di Mesir, kami pun berkemas untuk pulang menemui keluarga masing-masing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

* * * * *

“Mak ngah, nenek panggil sekarang.” Ujar anak abangku , Fatehah, sebaik sahaja dia menjengulkan kepala ke bilikku.

Aku bergegas menuju ke dapur dimana ibuku bersama makcikku yang lain. Mereka segara berleter tatkala melihatku masih belum bersiap sedangkan jam sudah menunjukkan pukul 7.50 pagi. Masih ada masa lebih kurang 2 jam lagi untuk majlis pernikahan ku bersama seorang doktor pakar di hospital tempatku bekerja. Namanya Adam Mukhriz dan bekerja sebagai seorang doktor pakar kulit. Bagaimana aku harus bersiap? Mak andam yang ditugaskan untuk mempersiapkan aku masih belum kunjung jua. Aku menjadi tidak keruan setelah didesak oleh ahli keluargaku yang lain untuk segera bersiap walaupun masih ada 2 jam lagi. Hilang sudah segala ketenangan yang cuba aku kecapi sebentar
tadi.

* * * * *

Pelbagai mimpi aneh telah aku alami sejak beberapa hari yang lalu. Dalam mimpi tersebut jelas kelihatan musibah yang tidak mampuku ceritakan. Telah aku beritahu akan perkara ini kepada suamiku, namun dia hanya berkata bahawa mimpi itu hanyalah mainan tidur. Setelah mendengar kata-katanya aku menjadi sedikit lega dan mula tidak menghiraukan lagi mimpi yang sering mengganggu tidur malamku.

Akhirnya mimpi yang aku anggap hanya mainan tidur menjadi satu kenyataan. Adam yang menjadi raja hatiku telah terlibat dalam satu kemalangan dasyat sewaktu dalam perjalanan pulang ke rumah. Sebuah lori minyak telah hilang pertimbangan apabila tayarnya pecah secara tiba-tiba dan membuatkannya terus meluncur laju kearah bertentangan seterusnya bertembung dengan kereta milik Adam. Semangatku seakan hilang apabila rakan setugas kami memberitahuku perkara ini. Aku terus terduduk atas lantai dan telefon bimbit terus terlepas daripada genggamanku terhempas ke lantai.
Musibah kerap menimpaku setelah kematian Adam. Enam bulan selepas pemergian suamiku, kedua ibu bapaku juuga turut pergi meninggalkanku semasa mereka menunaikan ibadat haji di tanah suci. Apa lagi yang harus aku lakukan sekarang? Hanya doa yang tulus ikhlas mampu aku panjatkan kehadrat ilahi atas segala ujian-Nya kepadaku. Kini aku hanya menjalani hidup sebagai seorang ibu tunggal dan meneruskan tugas membesarkan anakku seramai dua orang itu.

* * * * *

Aku kini semakin dimamah usia. Anak-anakku telah menjadi orang yang Berjaya dan mengikut jejak langkahku menjadi seorang doktor yang terkemuka. Aku hanya perlu memperbanyakkan ibadatku kepada Allah memandangkan usiaku sudah menjangkau 60-an. Tinggal bersama anak perempuanku yang kini sudah berkahwin membuatkan aku menjalani hari-hari akhirku bermain-main bersama cucuku dengan gembira.

Pagi itu begitu hening dan sangat menenangkan bagiku. Aku dapat merasakan bahawa ajalku hampir tiba. Oleh itu, ake segera menunaikan solat subuhku yang terakhir dan dengan izin Allah yang maha esa, nyawaku telah dicabut oleh malaikat maut dengan tenang tanpa sebarang masalah.
Tepat jam 7.30 pagi, seperti biasa anak perempuanku, Ain Dania akan dating ke bilikku untuk memberikan sarapan. Sebaik sahaja pintu dibuka, dia terduduk di depan pintu dan kemudian merangkak perlahan kearahku sambil memanggil namaku. Namun, aku tiada upaya untuk menyahutnya kerana dia tidak akan mendengarnya. Aku hanya mampu melihat dia menangis teresak-esak disisiku. Tidak lama kemudian aku dapat merasakan bahuku disentuh seseorang dan apabila aku berpaling, senyuman yang kurindui setiap masa kembali menyapaku. Suamiku kini berada disampingku untuk menjemputku ke tempat yang sepatutnya. Selamat tinggal anakku. Selamat tinggal dunia. Selamat tinggal kejayaan yang kukecapi suatu ketika dahulu. Ingatlah kalian bahawa setiap yang bernyawa pasti akan kembali kepada penciptaNya suatu hari nanti. Cuma kita tidak mengetahui bila dan bagaimana caranya kita akan meninggalkan dunia ini. Oleh itu, kita haruslah sentiasa bersedia dan tabah atas segala ujian yang dikenakan keatas diri kita yang kerdil ini.

No comments: